Sebagai perbandingan, usia minimum layak mengundi di Indonesia adalah 17 tahun tetapi jangan terkejut, ada 11 negara termasuk Argentina, Brazil, dan Scotland yang menetapkan 16 tahun. Ya, 16 tahun, pelajar tingkatan 4 sudah diberi hak memilih kerajaan ketika di Malaysia usia tersebut baru layak mengambil lesen motosikal.

Berikutan itu, gerakan telah dilakukan bagi menurunkan usia mengundi kepada 16 tahun di seluruh United Kingdom (UK) selepas Scotland melakukannya. Begitu juga halnya di negara demokrasi lain seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Momentumnya sangat dirasai dan tidak hairan Malaysia juga menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun dengan kelulusan sebulat suara di Dewan Rakyat, 46 tahun selepas Australia melakukannya pada 1973 atau 50 tahun selepas UK berbuat demikian pada 1969.

Walaupun perlu sokongan pembangkang untuk undi dua pertiga, namun itu tidak sukar bahkan disokong sebulat suara, tiada menentang atau berkecuali. Sangat bersejarah bukan sahaja dari segi menurunkan had umur tetapi yang lebih besar, kejayaan menyatukan Ahli-Ahli Parlimen dari pelbagai parti yang sangat-sangat jarang berlaku.

Apa selepas ini? Tentunya kelulusan bersejarah ini harus disusuli dengan inisiatif bagi mewujudkan kematangan politik anak muda di samping meningkatkan penglibatan politik belia seawal usia belasan tahun.

Ya, mungkin ada yang sinis kepada generasi yang membesar dengan Instagram dan e-sports, namun yang dewasa harus menyediakan jalan kepada mereka. Ingat, anak muda juga ada ‘saham’ kepada negara seperti lapisan umur lain.

Selain di menara gading, pada umur 18, 19 tahun ada yang sudah bekerja, berkeluarga dan membayar cukai. Bahkan mereka juga menyertai pasukan keselamatan mempertaruhkan nyawa untuk negara!! Justeru, mereka perlu diberi hak memilih pemimpin sama seperti kelompok umur lain.

Ya. Mereka generasi media sosial tapi berdasarkan kajian Princeton University AS ketika Pilihan Raya Presiden AS, golongan umur 65 tahun ke atas yang lebih banyak berkongsi berita palsu atau fake news di Facebook, bukan remaja!

Cuma, besar harapan agar rakyat tidak dirosakkan orang politik sendiri, terutamanya dengan ‘banjir janji populis’ bagi mengejar 22.7 juta undi termasuk pengundi baharu pada PRU-15.

UK sudah berdepan isu ‘manifesto bukan Bible’ 40 tahun lalu, jadi politik mereka telah berevolusi dan matang. Maka selain fitnah, politik populis jauh dari realiti inilah merosakkan kematangan politik rakyat. Ingatlah bahaya janji sedangkan banyak lagi boleh ditawarkan antaranya tadbir urus baik, integriti selain pembangunan dan inisiatif rakyat seperti lazimnya.

Justeru, pemimpin politik, pembangkang mahu pun kerajaan, jadilah contoh yang baik kepada anak muda. Senang cakap, mereka juga harus matang berpolitik dalam mengejar kemenangan. Selepas African Scam, Love Scam, Macau Scam, jangan pula ada ‘political scam’. -UTUSAN ONLINE