Majlis penyerahan tajaan akhbar digital itu diserahkan oleh Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim kepada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Menurut Daing Nasir, Kumpulan Utusan boleh diibaratkan sebagai harta negara kerana me­rupakan sebuah organisasi yang memainkan peranan penting ketika penubuhan Tanah Melayu, era kemerdekaan dan Raja-Raja Melayu.

Bagaimanapun jelasnya, setiap organisasi pasti akan berhadapan dengan cabaran tersendiri termasuk UMP apabila tinjauan universiti mendapati pelajar pada masa kini lebih cenderung mendapatkan maklumat dan bahan rujukan menggunakan gajet.

“Oleh itu, tidak menafikan ledakan penggunaan gajet, universiti telah memikirkan cara terbaharu meningkatkan proses pembelajaran iaitu membaca akhbar menerusi telefon bimbit.

“Selain itu, penjenamaan UMP banyak dibantu rakan-rakan media terutama Utusan Malaysia yang memainkan peranannya dan kita berbangga apabila dapat mengakses akhbar ini secara digital,” katanya ketika berucap dalam majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Besar Ibu pejabat Utusan Melayu, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMP, Prof. Datuk Dr. Rosli Mohd. Yunus; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UMP, Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Prof. Dr. Mashitah Mohd. Yusoff.

Sementara itu, wakil daripada Kumpulan Utusan pula ialah Penolong Ketua Pengarang, Datuk Hassan Mohd. Noor; Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail; Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkiflee Bakar dan Pengarang Berita Kanan, Mohd. Ridzwan Md. Iman.

Lawatan yang melibatkan pe­ngurusan tertinggi UMP itu adalah kunjungan balas kepada Kumpulan Utusan yang sebelum ini menghadiri majlis berbuka puasa bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, pada Ramadan lalu.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, tajaan akhbar digital antara kedua-dua organisasi ini merupakan hasil daripada muafakat yang terbina.

“Kita berharap UMP akan terus menjadikan Kumpulan Utusan sebagai rakan strategik dan bersedia bekerjasama sekali gus membawa persahabatan,” katanya.