Abdul Aziz Bari

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berpandangan, perbuatan keluar parti sebaliknya tidak menyalahi undang-undang selagi ia tidak mempunyai sebarang ele­men rasuah mahupun jenayah.

“Saya dahulu pun tidak pernah bersetuju dengan mendiang Karpal Singh yang mahukan kerajaan menguatkuasakan akta antilompat parti kerana saya rasa, sebaik-baik hakim adalah rakyat itu sendiri.

“Kalau seseorang itu hendak melompat (parti), sama ada tindakan dia baik atau tidak baik, pengundi yang akan memutuskan selepas itu kerana ada pilihan raya. Sama ada dia bertanding atau tidak, itu soal lain, tetapi parti yang dia (wakili ketika) melompat itu akan dihukum,” katanya.

Abdul Aziz yang merupakan bekas pensyarah undang-undang berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pameran dan forum alam sekitar di Home of Silveryouth, Kinta Riverfront di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa writ saman telah dihantar kepada beberapa individu ter­babit bagi menun­tut bayaran balik melibatkan kos selain kerusi yang dimenangi mereka atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN), perlu dikosongkan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, mengikut sistem Westminster, kerajaan juga mengizinkan ketua kerajaan baik Perdana Menteri, Menteri Besar mahupun Ketua Menteri yang hilang kepercayaan atau sokongan di dalam dewan, supaya meletakkan jawatan.

Sehubungan itu katanya, proses untuk meninggalkan mana-mana parti politik sekali pun adalah dibenarkan.

“Kalau hendak saman atas dasar apa? Kita saman kalau kita dimalukan, difitnah atau hak kita 'dilanggar' oleh orang lain tetapi dalam isu ini, apa hak (UMNO) yang dinafikan,” soalnya.

Noor Azmi Ghazali
Noor Azmi Ghazali 

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, beliau sama sekali tidak akan melepaskan kerusi Parlimen tersebut yang dimenanginya atas tiket UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Malah Noor Azmi memberi­tahu, beliau tidak gentar meskipun bakal berdepan dengan tindakan saman kerana bertindak mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta menjadi wakil rakyat Bebas pada 24 Jun lalu.

Katanya, ini kerana tiada sebarang peruntukan undang-undang yang boleh menyekat ahli UMNO keluar daripada parti tersebut.

“Adakah undang-undang yang menyekat keluar dari parti? No way, saya tidak akan kosongkan kerusi tersebut (Parlimen Bagan Serai).

“Jadi kalau nak saman, terpulanglah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.