Katanya UMNO akan menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan pihak berkenaan juga perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

" Mutakhir ini, terdapat wakil rakyat UMNO melompat keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti. Tetapi demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, kita telah pun mengambil langkah drastik melalui tindakan undang-undang!

"Saya ingin menyatakan bahawa writ saman telah pun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Mereka tidak lagi mempunyai asas moral untuk menjadi wakil rakyat," katanya dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.


Hadir sama adalah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Presiden UMNO, Pengerusi Tetap UMNO Tan Sri Badruddin Amiruldin, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran, turut hadir pimpinan PAS diketuai Timbalan Presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata semua wakil rakyat UMNO akan diminta menandatangani AkuJanji dan jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas atau pun menyertai parti lain, status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik dan parti akan menuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi.

Katanya UMNO akan menstruktur semula Lembaga Displin parti untuk diberi lebih kuasa dan sebagai sebuah badan bebas, peranan lembaga ini akan diangkat menjadi lebih berwibawa dan mempunyai kuasa mutlak untuk mengambil tindakan.

"Lembaga ini akan dianggotai oleh ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu," katanya.

Ahmad Zahid mewakili UMNO turut memohon maaf kepada mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan yang begitu tinggi kepada UMNO dan BN untuk terus memimpin dan mentadbir negara pada PRU14 yang lalu.

" Dalam sejarah UMNO, sayalah Presiden yang pertama menyampaikan Ucapan Dasar Presiden dalam kedudukan sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Sejak PRU pertama hingga ke-14, inilah kali pertama kita bukan lagi menjadi sebuah kerajaan di peringkat Persekutuan dan hanya menguasai dua buah negeri sahaja iaitu Perlis dan Pahang," katanya. - BERNAMA