Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menegaskan, sebarang tuduhan terhadap pasukan itu sama sekali tidak boleh diterima kerana banyak jasa mereka dalam menerajui arus perjalanan kemerdekaan.

Bahkan kata beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, warga ATM malah mempertahankan kemerdekaan dengan darah dan nyawa mereka demi negara dan rakyatnya, agar terus kekal harmoni dan ekonomi yang makmur.

"ATM yang berjuang dengan mempertaruhkan nyawa melalui slogan 'Biar berputih tulang, jangan berputih mata' dibuktikan melalui sejarah wira yang terkorban, cacat kekal, balu yang ditinggalkan dan anak-anak membesar tanpa bapa.

"Malangnya pada 2019 ini, di saat negara sedang bersiap sedia untuk tarikh penting kemerdekaan di bulan ini, tiba-tiba ATM dikatakan hanya 'pandai makan dan tidur'," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Jamil Khir, sebagai individu yang pernah bersama ATM selama 24 tahun sebelum menceburi kepimpinan negara, beliau dapat merasakan segala keperitan dilalui golongan itu.

"Adakah ini balasannya di atas segala pengorbanan setiap warga ATM sejak dahulu sehingga sekarang.

"ATM tidak mengungkit sejarah duka lara mempertahankan negara, biarlah ia menjadi amal khair sebagai pemberat timbangan," katanya.

Semalam, seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin dalam laman blog kendaliannya menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah sewajarnya untuk mengurangkan perbelanjaan perkhidmatan awam yang disifatkan beliau terlalu besar.

Menerusi tulisan tersebut, Yew Yin dipetik sebagai meminta kerajaan menyemak semula senarai pekerja di jabatan kerajaan serta memecat mereka yang tidak diperlukan.

Antara yang dibangkitkan ialah dengan menjadikan anggota tentera sebagai contoh dan menyifatkan anggota pasukan keselamatan negara itu hanya makan dan tidur sahaja. - UTUSAN ONLINE