Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Ts. Dr. Noor Azizi Ismail berkata, pihaknya menyambut baik langkah itu yang bertujuan memastikan pelajar bumiputera cemerlang terus mendapat peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, keputusan itu diharap dapat diterima semua pihak kerana ia selaras dengan objektif utama program matrikulasi iaitu memastikan potensi pelajar bumiputera dibangunkan melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.

“Secara tidak langsung, ini dapat memastikan mereka yang layak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama di universiti terutama di dalam bidang sains, teknologi dan profesional yang mana bumiputera masih ketinggalan di belakang.

“Bagi mewujudkan keadilan sosial, program matrikulasi adalah pilihan yang tepat khususnya untuk golongan B40 bumiputera untuk masuk ke universiti dan dalam masa sama, mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan nanti,” katanya dalam kenyataan, sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Azizi menyifatkan keputusan diumumkan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk mengekalkan kuota itu selepas mengambil kira beberapa faktor.

“Kewajaran itu adalah tepat sekali untuk pendidikan yang baik dan berkualiti, terutama dalam bidang sains, serta dapat memenuhi keperluan pasaran kerja pada masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE