Bekas qariah peringkat antarabangsa pada 1994, Umi Kalthom Mohd. Zain, 68, diberi penghormatan menjadi timbalan pengerusi jemaah hakim Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1440H/2019M, di Dewan Perbandaran Seremban di sini.

Menurutnya, beliau ditawarkan menjadi hakim kira-kira seminggu sebelum acara itu berlangsung.

“Saya menerima tawaran itu dengan hati terbuka dan menganggap ini sebagai satu cabaran bagi diri saya.

“Ia juga menjadi sejarah bagi tilawah ini,” katanya kepada Utusan Online di sini malam ini.

Beliau mula menyertai tilawah al-Quran pada 1968 di peringkat daerah Johor Bahru dan peringkat kebangsaan pada 1979.

“Saya melalui pelbagai pengalaman turun naik dalam sejarah tilawah al-Quran,” ujarnya.

Mengenai prestasi peserta tilawah al-Quran kali ini, Umi Kalthom berkata, beliau yang bertanggung jawab menilai taranum mendapati para peserta menunjukkan mutu bacaan yang baik.

Jelasnya, semua peserta boleh bertaranum dan hampir semua melepasi peringkat taranum wajib

“Cuma sebahagian mereka mempunyai suara sedikit serak mungkin disebabkan cuaca panas ketika ini,” katanya.

Ibu kepada enam anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 24 hingga 45 tahun itu kini mempunyai pusat pengajian al-Quran di Ulu Tiram, Johor, selepas bersara daripada perkhidmatan awam. - UTUSAN ONLINE