Beliau berkata, Islam menuntut umatnya untuk berusaha memperkasa ekonomi dengan mengeluarkan serta membekalkan produk buatan sendiri disebabkan mereka mengetahui hukum-hakam serta prinsip-prinsip penyediaan sesuatu produk.

Namun pada masa sama, katanya, Islam tidak menafikan hak serta penglibatan orang bukan Islam dalam berjual beli dengan syarat mematuhi hukum serta etika pengeluaran sesuatu produk.

"Asas kepada urusan jual beli yang dititikberatkan dalam Islam ialah unsur saling meredhai (taradhin) manakala konsep ta'awun atau tolong-menolong merupakan perkara asas dalam agama Islam termasuklah dalam jual beli sekali gus mempunyai kebaikan dan falsafah tersendiri dalam membangun serta menjaga kepentingan ekonomi umat Islam.

"Kempen Utamakan Produk Muslim (BMF) yang diketengahkan dalam masyarakat negara ini adalah implementasi daripada konsep ta'awun yang bertujuan memperkasa ekonomi umat Islam di negara ini.

"Oleh itu, adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk mendaulatkan segala perintah al-Quran dan al-Hadith dalam segenap aspek kehidupan termasuk jual beli serta dikira sebagai mujahadah dan ibadah di sisi Allah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Harussani berkata, umum mengetahui bahawa kekuatan sesuatu bangsa adalah dipengaruhi oleh kekuatan ekonominya.

Sehubungan itu katanya, sebagai umat Islam, kekuatan akidahlah yang akan mempengaruhi kekuatan ekonomi mereka.

"Seorang Islam yang kuat akidahnya akan memperkuatkan ekonominya dengan memastikan rantaian produk mestilah bersumberkan yang halal dan thoyyib.

"Thoyyib merujuk kepada perkara-perkara kebaikan yang ada pada produk tersebut meliputi sumber-sumber bahan mentah dan kaedah-kaedah penyediaan termasuklah pekerja yang bersih serta mempunyai hati ikhlas dan jujur," katanya. - UTUSAN ONLINE