Namun sehingga artikel ini ditulis, tiada respons diberikan. Yang ada hanya daripada pihak menteri selain kenyataan beberapa pertubuhan peguam yang menempelak mereka yang mengkritik tindakan Tommy menari dengan peguam-peguam swasta.

Sebenarnya mereka mengkritik bukan kerana Tommy menari tetapi perlakuan tersebut didakwa tidak sesuai dengan kedudukan beliau selaku AG yang perlu ada jurang agar tidak kelihatan mesra di mata umum dengan pihak-pihak berkepentingan seperti peguam.

Tujuannya supaya tiada persepsi umum dalam setiap tindak-tanduk Tommy dalam menjalankan tugas sebagai AG menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan. Tidaklah keputusan Jabatan Peguam Negara boleh menimbulkan andaian kerana sebab itu dan ini.

Kata orang, keadilan itu bukan sahaja perlu dilaksanakan tetapi mesti dilihat dilaksanakan. Kata-kata keramat ini juga dipetik Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam mengulas isu ini.

Seorang lagi peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdullah juga memberi pandangan hampir serupa yakni rakaman itu boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat yang menggugat prinsip pengasingan kuasa.

Apatah lagi ramai masih ingat apabila AG yang sebelum ini dikritik hebat juga kerana rakaman video joget. Maka hal yang sama bermain dalam fikiran ramai.

Yang membawang di media sosial itu satu bab, tetapi peguam-peguam ternama juga memberikan pandangan pelbagai dengan ada yang kata ok dan ada yang kata tidak dengan tindakan Tommy itu.

Maka, Tommy wajar memberikan respons yang ditunggu-tunggu ramai. Mendapat maklum balas juga hak masyarakat dalam sistem demokrasi. Maka, warganet tanya, elok AG jawab. - UTUSAN ONLINE