Turunkan usia keahlian UMNO tidak sesuai
Zahari Sarip

Wakil UMNO Johor, Senator Datuk Zahari Sarip berkata, usia yang baharu menginjak remaja itu belum cukup matang sepenuhnya dalam membuat keputusan malah golongan berkenaan masih mengikut telunjuk ibu bapa.

Kata beliau, ada langkah lain yang boleh dipertimbangkan oleh pucuk pimpinan UMNO untuk mendekatkan golongan belia dengan parti tersebut.

“Keadaan ini dibimbangi akan makan diri UMNO sendiri, misalnya jika remaja berkenaan melakukan kesalahan disiplin di sekolah atau terlibat dalam sebarang salah laku, pihak lawan akan menyebut ‘ini ahli UMNO’.

“Selain itu, jika majoriti ibu bapa tidak membenarkan remaja berkenaan terlibat dalam politik kerana mahu mereka fokus pada pelajaran akibatnya tiada yang menjadi ahli UMNO seterusnya memberi gambaran parti ini ditolak masyarakat termasuk dalam kalangan belia,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE