Dalam satu kenyataan bersama kepemimpinan PKR cabang itu diketuai ketuanya, Lee Chean Chung, mereka beranggapan kerajaan sewajarnya menggunakan kesempatan terbaik untuk menunjukkan komitmen menunaikan janji di dalam manifestonya berkaitan penjagaan alam sekitar dengan tidak menyambung lesen operasi kilang memproses nadir bumi itu yang tamat bulan depan.

"Malangnya, kerajaan turut tertarik dengan propaganda mereka yang pro-Lynas tanpa menghiraukan kehendak rakyat di sekitar Kuantan yang menolak Lynas dengan memilih PH di dua Parlimen iaitu Kuantan dan Indera Mahkota.

"Lynas adalah isu yang sering kami utarakan bukan sebagai modal politik tetapi sebagai tanggungjawab berlandaskan fakta," kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri mengakui Lynas akan menghasilkan bahan sisa toksik yang berbahaya kepada alam sekitar walaupun menyatakan ia dalam jumlah kecil.

Hal demikian bermakna, katanya, kerajaan sedar memang terdapat risiko daripada aktiviti di kilang tersebut namun seolah-olah melihat sesuatu yang lain tanpa serius tentang risikonya.

"Sejuta tan metrik dijangka terhasil daripada sisa-sisa kilang Lynas ini bukan jumlah yang kecil tambahan pula sehingga kini kita tidak tahu dengan tepat di manakah sisa-sisa ini akan disimpan.

"Apakah kerajaan mahu rakyat di Kuantan dan Indera Mahkota korbankan kesejahteraan alam sekitar dan kesihatan mereka asalkan kerajaan dapat menarik minat pelaburan? ," soalnya.

Tambah kenyataan itu, selama lapan tahun PKR Indera Mahkota berjuang secara konsisten memastikan bandar Kuantan dan sekitarnya bersih daripada sebarang projek yang mendatangkan risiko yang mana negara luar juga tidak terfikir untuk menerima risiko dari kilang nadir bumi seperti Lynas.

Katanya, meskipun kerajaan membuat keputusan yang sangat mengecewakan, namun mereka yakin masih ada ruang untuk kembali kepada kebenaran.

"Lynas akan tamat lesennya bulan depan, maka kami mendesak dan merayu agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan yang menyakitkan itu serta menggesa kerajaan negeri tidak membenarkan tapak baharu dibuka untuk penyimpanan sisa tersebut.

"Kerbau dipegang pada tali, manusia dipegang pada janji," kata kenyataan itu. - UTUSAN ONLINE