Roslan Ariffin

Roslan Ariffin, 68, dan isteri­nya, Samsuriah Abd. Hamid, 67, berkata, setiap tahun separuh daripada hasil padi yang dijual disimpan dalam Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji).

Roslan bersyukur kerana setelah 20 tahun menyimpan, dia dan isterinya dapat ke Mekah tahun ini.

“Saya menyimpan sedikit demi sedikit hasil buat bendang sejak lebih 20 tahun lalu dengan menyimpannya dalam Tabung Haji. Pendapatan buat bendang lebih dua ekar (0.8 hektar) setiap musim padi dibelanjakan sete­ngah, yang lebih disimpan,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis bacaan yasin dan meraikan bakal haji kawasan Parlimen Parit Buntar di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar di Masjid Daerah Kerian.

Samsuriah pula berkata, ketika ini dia dan suami sedang membuat persiapan terakhir sebelum berangkat ke Mekah dalam masa terdekat.

“Impian hendak menunai­kan haji terlaksana juga akhirnya. Terima kasih kepada kerajaan memberikan peluang kepada kami melaksanakan ibadat haji yang sudah lama kami nantikan,” katanya.

Seorang lagi bakal jemaah haji, Intan Norhasimah [email protected], 53, dari Bagan Tiang di sini bersyukur kepada Allah kerana hasrat ingin menunaikan haji bersama suaminya dimakbulkan.

“Rezeki saya dan suami kerana dapat menunaikan haji tahun ini. Saya sudah bersedia untuk menunaikan ibadah di Mekah kerana kami sudah menghadiri kursus berkaitan ibadat haji sebelum ini,” katanya.