Ahli DMJ, Nur Faizal Kasri berkata, ini kerana, kenyataan Dr. Mahathir di sebuah portal dengan tajuk “Syiah ada hak peribadi, tapi jangan cuba sebar ajaran” adalah sebenarnya membenarkan ajaran itu diamalkan di negara ini.

Menurutnya, DMJ berpendapat, apabila dikatakan syiah itu ada hak peribadi ia secara tidak langsung merupakan tiket untuk mereka berkembang biak.

Dewan Muda Johor (DMJ)

Berkenaan saranan Dr. Mahathir supaya syiah jangan cuba sebara ajaran, katanya, DMJ percaya larangan itu pasti tidak diendahkan oleh puak syiah yang sekarang ini bergerak secara tersembunyi tetapi angka mereka sentiasa bertambah.

“Syiah sudah difatwakan haram oleh kebanyakan Majlis Agama Negeri, maka memberikan hak peribadi kepada mereka merupakan tindakan dangkal yang boleh dieksploitasi.

“Mungkin hari ini mereka sedikit dan tidak berani menonjolkan diri, apabila mereka sudah ramai nanti, DMJ percaya mereka akan lebih berani,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, Nur Faizal berkata, bagi menyelesaikan permasalahan itu, DMJ mencadangkan supaya diwujudkan satu Rang Undang-undang Syariah untuk menyekat mana-mana ajaran sesat seperti Syiah, Qadiani, Salafi, Hizbut Tahrir dan lain-lain daripada terus diamalkan di negara ini.

Selain itu, tambahnya, tafsiran Islam seperti disebutkan dalam Perkara 3(1) bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan perlu diperincikan lagi kerana pecahan Islam lain tidak sepatutnya dibenarkan untuk diamalkan.

“Syiah juga mengaku sebagai Islam, Qadiani juga membuat pengakuan sama, tidak terlepas juga puak-puak Salafi. Oleh itu, adalah penting untuk membuat takrifan yang terperinci bagi Islam yang mana hanya Ahlus Sunnah Wal Jamaah Asya’irah dan Maturdiyyah sahaja diterima,” katanya.

DMJ juga katanya, turut mencadangkan silibus mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah sepatutnya mengajar Tauhid yang betul iaitu Tauhid Sifat 20 seperti yang diajarkan di Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, subjek tersebut perlu diselaraskan antara sekolah kebangsaan dan sekolah agama. - UTUSAN ONLINE