Dr. Mahathir berkata, Malaysia juga berdepan masalah sivik dalam kalangan masyarakat yang melakukan pelbagai perkara tidak baik seperti membuang sampah merata-rata dan mencuri air, paip, elektrik serta lampu-lampu jalan.

"Saya malu kerana saya sering kali pergi 'inspection' tandas di Malaysia untuk tengok bersih atau tidak dan biasanya tidak dan busuk. Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita, sepatutnya kita berasa malu dengan keadaan itu.

"Sekarang kita mempunyai masalah sampah di sekeliling yang dibuang merata tempat selain kes kecurian air, paip, elektrik dan juga lampu jalan. Ini berlaku kerana kita tiada nilai sivik yang tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan 2019 anjuran Kementerian Pendidikan di Dewan De Seri Endon Puspanitapuri di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik.

Menurut Dr. Mahathir, ketika ini, usaha mendidik dalam bidang sivik menjadi satu perkara yang penting kerana ia mempungai hubung kait dengan kehidupan masyarakat dalam menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan.

"Ketika ini, usaha mendidik bukan sahaja tangungjawab ibu bapa semata-mata kerana bukan semua ibu bapa mempunyai pegangan yang baik kepada nilai-nilai yang mulia. Oleh kerana itu mungkin apa yang diajar, disampai dan disemai dalam hati anak-anak mereka tidak begitu baik.

"Oleh kerana itu, kita perlu susun nilai hidup terbaik yang perlu diterap kepada anak-anak. Ini menjadikan satu daripada tugas pendidikan dalam membentuk masyarakat yang bertanggungjawab dan kita juga perlu tentukan apakah sifat yang perlu ada," katanya.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir berharap, pendidikan sivik yang diperkenalkan di sekolah sejak Jun lalu akan membentuk masyarakat dan individu di Malaysia yang bertanggungjawab, prihatin, bertimbang rasa terhadap pihak lain.

"Kalau kita tidak tahu sifat apa yang perlu ada kepada kita, maka kita tidak dapat hidup sempurna dalam masyarakat. Kalau kita tidak berpegang kepada amanah dan nilai mulia, maka sudah tentu kita akan dapat kesannya daripada anggota masyarakat.

“Umpamanya, kalau kita mengambil bukan hak kita, kerana kita berpendapat, tidak ada siapa yang akan bertindak terhadap kita. Kerana tidak mengawal diri, tidak berdisplin, sanggup membuat sesuatu yang salah kerana berpendapat bahawa tidak ada tindakan yang akan diambil, masyarakat sudah tentu akan jadi kucar-kacir, tidak tersusun, tidak tenteram dan stabil,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pendidikan sivik di sekolah tidak akan menjadi beban kepada guru atau murid sebaliknya ia bertujuan mengajar nilai tanggungjawab, disiplin dan menentukan alam sekitar tidak dicemar dengan perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Saya percaya, Malaysia akan menjadi negara maju, bersih dan dipandang tinggi oleh masyarakat dunia sekiranya rakyat mempunyai nilai sivik yang tinggi," katanya.-UTUSAN ONLINE