Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan percaya kepada dasar kemakmuran bersama malah tidak pernah membantah penggunaan tulisan dalam Bahasa Cina yang dianggap sebagai sesuatu yang istimewa.

Malah menurut beliau, tulisan dalam Bahasa Cina tidak dibenarkan di negara lain seperti di Indonesia, Filipina dan Thailand di mana rakyat negara itu hanya dibenarkan menggunakan bahasa ibunda mereka.

“Jadi tidak kenalah kalau DAP kata kita tidak boleh belajar (tulisan) khat. Saya juga fikir bukan semua DAP (yang membantah) mungkin ada satu bahagian daripada parti itu yang menentang jadi kita ingat kita boleh teruskan,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar dalam sesi Townhall Semarak Merdeka yang diadakan di Hotel Hatten di sini sebentar tadi.

Program tersebut yang disertai kira-kira 1,600 peserta diadakan sempena kunjungan Dr. Mahathir ke Melaka bagi merasmikan Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibat Jalur Gemilang 2019 yang akan berlangsung malam ini.

Kementerian Pendidikan semalam bertegas meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada tahun 2020 walaupun ditentang ramai pemimpin DAP dan pertubuhan mewakili pendidikan Cina.

Menurut kementerian dalam satu kenyataan semalam, tulisan khat merupakan warisan bahasa Melayu yang penting untuk dipelajari, sejajar dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.

Dr. Mahathir berkata, tulisan khat merupakan satu warisan seni yang tinggi malah ketika kunjungannya ke Turki baru-baru ini, walaupun penduduk Turki menggunakan tulisan rumi namun mereka tetap mahir dalam tulisan khat. - UTUSAN ONLINE