ABDULLAH ZAIK ABD. RAHMAN

Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, kumpulan tersebut yang secara berlebihan mempamerkan sikap prejudis turut menampakkan mereka tidak bijak dalam berpolitik.

“Penentangan dua pertubuhan ini bukan sahaja disifatkan sebagai kumpulan pelampau yang secara berlebihan mempamerkan sikap anti Melayu dan Islam, malah jelas secara konsisten menentang perkara melibatkan Melayu dan Islam.

“Jika dilihat, mereka sentiasa menentang dalam apa jua dasar yang mengangkat martabat orang Melayu dan Islam. Ini merupakan sikap kumpulan pelampau dan ekstremis,” katanya ketika dihubungi Utusan Online hari ini.

Dong Zong dan Jiao Zong yang menentang pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dan seni khat tampil menafikan akan menganjurkan satu perhimpunan bagi membantah dasar itu pada Isnin ini.

Ini berikutan penegasan Kementerian Pendidikan yang mahu meneruskan pelaksanaan pengenalan tulisan berkenaan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada 2020.

Mengulas lanjut, Abdullah Zaik berkata, pelaksanaan tulisan Jawi dalam mata pelajaran di sekolah bukan perkara baharu, malah telah dilaksanakan sejak dahulu lagi.

“Perkara ini bukan baharu, malah telah ada sejak dahulu lagi. Oleh itu, amat jelas mereka yang menolak dasar ini merupakan pihak yang tidak cerdik dalam berpolitik ekoran gagal menyembunyikan sifat pelampau berkenaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE