Memetik laporan Sinar Harian, pemimpin DAP berkumpul di ibu pejabat parti itu malam tadi bagi menghadiri sesi taklimat berkaitan isu khat Jawi di sekolah vernakular.

Berdasarkan laporan tersebut, antara pemimpin tertinggi yang menyertai taklimat itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Organisasi, Anthony Loke Siew Fook; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Timbalan Setiausaha Agung, Teresa Kok serta pimpinan-pimpinan negeri.

Setiausaha Antarabangsa DAP yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching turut hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Baru-baru ini, Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Melayu di semua sekolah dalam negara termasuk SJKC dan SJKT.

Pengumuman itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk 138 pemimpin akar umbi dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad walau bagaimanapun dalam maklum balasnya berhubung isu itu berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal. - UTUSAN ONLINE