Formula itu merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia dan mampu menyumbang sebanyak enam kali ganda kalsium atau 240 miligram untuk setiap hirisan piza berbanding hanya 40 miligram bagi saiz sama yang terdapat di pasaran.

Kumpulan sembilan penyelidik berkenaan diketuai oleh Dr. Mohd. Nizam Lani dengan pasukannya iaitu Dr. Mohd. Sabri Mohd. Ghazali; Dr. Nor Fazliyana Mohtar; Dr. Yusnita Hamzah; Dr. Maisara Abdul Kadir; Dr. Siti Nur’Afifah Jaafar; Dr. Zuha Rosufila Abu Hasan; Dr. Muhammad Abi Sophian Abduk Halim dan Dr. Siti Nur ‘Atikah Zulkifli.

Menurut Mohd. Sabri, projek penyelidikan itu berlangsung selama 18 bulan secara fasa demi fasa sejak April 2015 menerusi Dana Inovasi Komuniti (CIF) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi berjumlah RM410,000 dengan idea diilhamkan oleh pihak industri iaitu Koperasi Bukit Gantang, Manir di sini yang terlibat dalam perniagaan penjualan piza berjenama Mystreet Pizza.

“Tulang ikan merupakan satu daripada bentuk sisa yang memiliki kandungan kalsium terbanyak dalam tubuh ikan, jadi menerusi kerjasama strategik dengan Koperasi Bukit Gantang ini, sisa berkenaan dapat diproses menjadi serbuk hidroksiapatit yang terbukti selamat untuk dimakan menerusi ujian toksikologi yang dijalankan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan.

“Sebelum wujudnya projek seperti ini, sisa tulang ikan di Kuala Terengganu gagal diuruskan dengan baik dan lazimnya, dibuang ke dalam sungai atau tempat yang tidak sepatutnya,’’ katanya dalam sidang akhbar selepas Program Keusahawanan Lestari-Penghasilan Roti Piza Berkalsium Tinggi di Auditorium Mahyuddin di sini hari ini.

Yang hadir sama, Penolong Setiausaha Bahagian Teras Sains dan Teknologi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Rosmaini Mohamed serta Pengurus Koperasi Bukit Guntung, Nor Hanani Ismail.