Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, tujuh teras hasil daripada rumusan sewaktu mengadakan pemukiman baru-baru ini itu membabitkan perkara-perkara seperti perlembagaan, keahlian, struktur parti, perkaderan dan latihan, penerangan dan teknologi maklumat (IT). tawaran baharu serta program tumpuan dan institusi dalaman UMNO.

Dalam ucapan dasar sempena Perhimpuan Agung UMNO malam ini, langkah pertama kata Ahmad Zahid ialah semua ahli parti perlu memahami sejelas-jelasnya idealisme perjuangan UMNO.

“UMNO bukan hanya ditubuhkan bagi memenangi pilihan raya. Tetapi ia adalah sebuah manifestasi perjuangan berpaksikan kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya.

Teras kedua kata beliau, menentang eksploitasi politik, diikuti teras ketiga memperkasakan parti, dan teras keempat hak kuasa istimewa kepada UMNO negeri.

Teras kelima kata beliau ialah muafakat politik iaitu bertaut dengan rakan pembangkang yang lain.

Bersedia untuk membentu kerajaan atau kerajaan menanti merupakan teras keenam kerana walaupun kalah, UMNO tetap merupakan parti dominan dan mempunyai harapan cerah untuk kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Teras ketujuh ialah pengorbanan jiwa raga. Ujian paling besar terhadap ahli UMNO adalah soal pengorbanan. Kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang menjadi penggerak di barisan hadapan kita, teruslah bergerak ke cawangan-cawangan, menjadi mata dan telinga parti, terus memperjuangkan nasib anak bangsa kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE