Mereka ialah qari dari Sabah, Mohd. Ayub Maidi yang akan membacakan surah al-Kahfi bermula ayat 83 mengikut taranum rast nahawand manakala qariah dari negeri sama, Nur Faten Izzati Rablin akan membacakan ayat 130 surah al-An’am mengikut taranum hijaz soba’.

Qari dari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi pula akan membacakan surah al-An’am bermula ayat 151 mengikut taranum soba nahawand manakala qariah dari Sarawak, Nur Syakura Mohamad Musa akan membacakan surah al-Baqarah bermula ayat 270 mengikut bacaan taranum hijaz rast.

Peserta dari Pahang, Mohamad Syaheed Sabri akan membaca ayat 60 surah at-Taubah mengikut taranum hijaz soba manakala qariah ketiga yang akan memperdengarkan bacaan pada malam ini ialah Che Ruhani Mohd. Fathil dari Kelantan yang akan membacakan surah ar-Ra’d bermula ayat 29 mengikut taranum hijaz rast.

Qari keempat yang akan memperdengarkan bacaan ialah Mohamad Yusuf Kassim dari Johor yang akan membacakan surah al-Mu’minun bermula ayat 68 mengikut taranum soba rast.

Majlis pembukaan tilawah dan menghafaz peringkat kebangsaan tahun ini dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad malam tadi.

Seramai 28 peserta terdiri daripada 14 qari dan 14 qariah memperdengarkan bacaan pada majlis tilawah yang bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’.

Bagi menghafaz al-Quran, seramai 84 peserta berusia tujuh hingga 25 tahun akan bersaing dalam tiga kategori yang dipertandingkan.

Majlis menghafaz al-Quran telah bermula pada pagi tadi. - UTUSAN ONLINE