Begitu dinyatakan Naib Presiden Sokongan Pengguna PT Dirgantara Indonesia, Tedi Permadi, iaitu syarikat pengeluar pesawat itu yang berpangkalan di Bandung.

Beliau berkata, kesemua tujuh pesawat berkenaan yang sudah berusia kira-kira 20 tahun, kini sedang menjalani Program Pemanjangan Hayat Perkhidmatan (SLEP).

“Sebuah daripadanya baru selesai menjalani proses pendawaian semula di Kuching, Sarawak dan diserahkan semula kepada TUDM hari ini diikuti pesawat lain yang dijangka selesai tahun depan.

“Ia merangkumi pendawaian semula di bahagian sistem enjin, minyak, eletrikal dan avionik,” katanya ketika ditemui semasa Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘19) di sini, hari ini.

Majlis penyerahan pesawat CN235 dan sijil kepada pegawai dan anggota TUDM yang terlibat dalam proses pendawaian semula pesawat tersebut yang mengambil masa tiga bulan, dilakukan di LIMA hari ini.

Dalam pada itu menurut Tedi, selain menaik taraf CN235 menerusi SLEP, pihaknya turut menawarkan pengubahsuaian dua pesawat berkenaan kepada MPA dan pembelian dua pesawat baharu jenis sama.

Beliau walau bagaimanapun enggan menyatakan kos pakej bagi kedua-dua urusniaga itu.

“Sekiranya dilaksanakan (pengubahsuaian), TUDM boleh memperluaskan fungsi CN235 untuk rondaan maritim pada masa depan,” katanya.

Kata beliau, pengubahsuaian itu nanti akan melibatkan antaranya penukaran sistem radar pengesan, pengesan inframerah, sistem kompter teknikal, sistem komunikasi digital dan peralatan pemprosesan isyarat dan penerima (ESM). - UTUSAN ONLINE