Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu yang bertepatan untuk membantu murid dan pelajar kurang berkemampuan akan diteruskan dari semasa ke semasa, selain diperluaskan ke lebih banyak kawasan di seluruh negara.

“Secara keseluruhannya bagi keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017, murid yang lulus dalam semua mata pelajaran meningkat sebanyak 14 peratus berbanding keputusan semasa peperiksaan percubaan, manakala bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), analisis secara kasarnya mencatatkan peningkatan memberangsangkan.

“Kita melihat program ini dapat meningkatkan pencapaian murid termasuk di daerah ini yang menyaksikan seramai 17 pelajar yang mengikuti Tuisyen Rakyat mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Tuisyen [email protected] di Dewan Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar di sini, hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Azizan Mohamad Sinin; Pengerusi Kolej PolyTech Mara (KPTM), Datuk Ahmad Nazlan Idris; Pengerusi Yayasan Pelajaran Mara (YPM), Datuk Zahida Zarikh Khan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Zulkarnain Md. Eusope.

Menurut Ismail Sabri, sejak dilaksanakan dua tahun lepas, program tersebut memberi manfaat kepada lebih 80,000 pelajar yang menyaksikan trend mereka yang mengikuti tui­syen itu setiap tahun meningkat.

Berdasarkan keberkesanan pro­gram berkenaan yang dilaksanakan di seluruh kawasan Parlimen itu, kata beliau, pihaknya memperluaskannya kepada 594 buah sekolah pada tahun ini berban­ding 577 buah sekolah pada tahun lalu.

“Dengan melibatkan peruntukan kira-kira RM10 juta pada tahun ini menyaksikan program berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan memberi manfaat kepada 30,000 pelajar di seluruh negara.

“Kita berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam program ini termasuk agensi di bawah kementerian dan Celcom Axiata Berhad yang menjadi badan korporat pertama me­nyalurkan sumbangan,” katanya.

Celcom Axiata Berhad pada tahun kedua telah menyumbang sebanyak 11 pusat tuisyen membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM495,000.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, program berkenaan signifikan dalam membantu pelajar apabila memfokuskan kepada mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

Selain itu, katanya, fokus kepada mata pelajaran penting khususnya Bahasa Inggeris dan Matematik berjaya memastikan pelajar luar bandar mampu mencapai keputusan cemerlang dan bersaing dengan pelajar di bandar.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa memberikan keutamaan kepada pendidikan dengan penyediaan peruntukan besar setiap tahun kepada bidang berkenaan yang mampu mengubah nasib seluruh masyarakat.