Kerajaan dituduh menipu undi dan mengugut pembangkang serta penyokongnya. Sekurang-kurangnya 17 orang terbunuh dalam serangan ketika hari pengundian.

Al-Jazeera baru-baru ini sempat menemu bual Gowher Rizvi, Penasihat Hal Ehwal Antarabangsa kepada pemimpin AL dan Perdana Menteri, Sheikh Hasina, mengenai pelbagai isu, termasuk tuduhan menakut-nakutkan pembangkang dan pengharaman parti pembangkang, Jamaat-e-Islami.

AL-JAZEERA: Pembangkang menuduh penyokong dan calonnya ditakut-takutkan dan dihalang daripada mengadakan kempen secara bebas. Apa maklum balas anda?

GOWHER RIZVI: Itu tuduhan yang serius. Pembangkang mendakwa terdapat sekatan terhadap pergerakan mereka dan ada yang ditangkap polis. Banyak perkara yang diperbesar-besarkan. Ini sesuatu yang cukup dahsyat. Tetapi cuba kita lihat seminggu lalu, beberapa orang terbunuh dan semuanya orang kita (AL). Ini adalah keganasan sebenar.

Mengapa Jamaat-e-Islami ‘diharamkan’?

Itu tidak benar. Setiap parti mempunyai perlembagaan dan manifesto. Jamaat menolak perlembagaan negara dan mahu menggantikannya. Atas sebab itu, kerana perlembagaannya bertentangan dengan perlembagaan negara, Suruhanjaya Pilihan Raya telah menolak pendaftaran parti itu. Seramai 40 pemimpin Jamaat bertanding dalam pilihan raya sebagai sebahagian daripada BNP (Parti Nasionalis Bangladesh) atau bebas. Kerajaan tidak mengharamkan dan tidak akan mengharamkan mereka.

Mengapa poster kempen pembangkang tiada di jalanan?

Kami mencatat rekod 10 tahun dalam pembangunan pesat ekonomi. Kemakmuran besar telah dicapai setiap penunjuk sosial dan ekonomi. Kami menawarkan manifesto yang menarik untuk lima tahun akan datang. Apa manifesto pembangkang? Mengenai apa manifesto mereka membuatkan orang ramai teruja selain mengatakan ‘buang kerajaan sedia ada yang sangat berjaya’? Yang bukan hanya mengekalkan kestabilan politik tetapi juga menggalakkan pembangunan ekonomi.

Dalam tempoh empat tahun yang lepas, mereka melakukan sangat sedikit cara berkempen dan sentiasa mengancam untuk memboikot pilihan raya. Mereka ‘memasuki’ pilihan raya ketika sebulan lalu atau enam minggu lalu. Oleh itu, dalam ketidakpastian tersebut, bagaimana anda berfikir petugas parti akan menjalankan kempen? Memang tidak sehingga Dr. Kamal Hossain datang dan berkata mereka akan mengambil bahagian (bertanding).

Kenapa AL tidak bersetuju dengan terma ‘kerajaan sementara’ seperti dituntut pembangkang?

Mahkamah Agung memberikan keputusan jelas bahawa pemerintahan sementara adalah haram dan tidak demokratik. Mahkamah Agung menyatakan itu tidak demokratik kerana kerajaan sementara terdiri daripada orang yang tidak dipilih oleh pengundi. Bagaimana BNP mengharapkan sesuatu yang telah diputuskan oleh Mahkamah Agung sebagai haram?

Kita ingat pernah suatu ketika kerajaan sementara yang terakhir kekal sehingga dua tahun, sepatutnya tiga bulan. Mereka menangkap pemimpin BNP dan AL.

Di India, pilihan raya dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Adakah mereka memberikan bukti bahawa suruhanjaya itu tidak berfungsi secara adil? Mengulangi pembohongan yang sama, lagi dan lagi, tidak akan menjadikannya benar.

Bangladesh menerima hampir satu juta pelarian Rohingya. Tetapi aktivis mengkritik Dhaka kerana menandatangani perjanjian menghantar pulang pelarian dengan Myanmar - yang penuh kerahsiaan?

Kami tidak menyentuh sebarang urusan dengan Myanmar. Satu perjanjian ditandatangani, yang pada dasarnya bersetuju mengenai penghantaran pulang Rohingya kembali ke tanah air mereka.

Bangladesh, sebuah negara yang padat penduduknya dengan tekanan ekonomi, telah menjadi ‘tuan rumah’ hampir sejuta pelarian. Kemudiannya, mereka menuduh Bangladesh menyembunyikan fakta yang tidak dapat diterima.

Kami membuatnya jelas dari awal bahawa kami tidak akan melakukan penghantara pulang secara paksa. Kami menuntut agar keadaan di Myanmar selamat supaya mereka dapat kembali. Kami juga menuntut agar organisasi antarabangsa hadir ke Myanmar untuk memastikan tiada berlakunya keganasan dan perlanggaran hak asasi manusia.

Kami menerima pelarian selama lebih setahun dan tidak menghantar pulang seorangpun. Ini tanggungjawab Myanmar. Oleh itu, sila pulangkan kritikan itu kepada Naypyidaw dan komuniti antarabangsa dan tanya mereka sama ada sudah melakukan secukupnya untuk Rohingya?