Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM),R. Meenakshi menegaskan penubuhan RCI amat penting supaya semua mereka yang bertanggungjawab terhadap kerosakan alam sekitar dan menjejaskan orang ramai diambil tindakan memandangkan betapa seriusnya insiden yang berlaku itu.

Menurut Meenakshi, penyiasatan yang lebih lengkap dan menyeluruh perlu dilakukan demi kepentingan awam bagi mengenal pasti punca utama pencemaran bahan kimia termasuk dalam menentukan pelaku yang bertanggungjawab terhadap penyebab kerosakan selain menentukan kecuaian pelbagai pihak berkuasa yang membenarkan pencemaran berlaku.

“Sebagai tambahan, RCI ini juga perlu bagi melihat kepada kemampuan undang-undang semasa dan kemampuan serta keupayaan pihak penguatkuasa kita untuk membuat saranan dan mengambil langkah yang akan membantu kebajikan, kesihatan serta keselamatan awam pada masa depan.

“Ini bukan hanya termasuk siasatan terhadap undang-undang alam sekitar yang berkaitan pada masa kini tetapi juga garis panduan dan peraturan berkaitan perancangan kedudukan kawasan perindustrian terutama sekali kilang bahan kimia dan toksik sama ada terletak berdekatan sekolah, kawasan kediaman dan kawasan yang sering dikunjungi orang ramai,” katanya dalam kenyataan hari ini. - UTUSAN ONLINE