R. MEENAKSHI
R. MEENAKSHI 

Pengerusinya, R. Meenakshi berkata, kerajaan negeri juga perlu mengambil langkah yang sepatutnya untuk menghentikan pencemaran termasuk memberi amaran kepada orang ramai mengenai bahaya berenang di kawasan perairan itu.

Menurut beliau, kawasan laut pantai utara Teluk Bahang dan Tanjung Bungah terkenal dengan aktiviti berenang bagi penduduk tempatan dan pelancong asing, namun tidak ramai yang tahu mengenai bahaya pencemaran tersebut.

“Nikel, kadmium dan plumbum adalah logam berat yang amat toksik dan berbahaya kepada manusia dan kehidupan marin.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah tiada tindakan yang telah diambil setakat ini, walaupun paras pencemaran yang tinggi ditemui di kawasan laut itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Penyelidik Pusat Pengajian Pantai dan Marin, Universiti Sains Malaysia (CEMACS) baru-baru ini mendakwa menemukan paras nikel yang amat tinggi dengan kepekatan sehingga 944 peratus lebih tinggi berbanding paras biasa di laut Taman Negara Teluk Bahang.

Selain itu, paras plumbum melebihi 184 peratus dan kadmium 32 peratus lebih tinggi berbanding biasa turut ditemukan di kawasan laut tersebut.

Menurut pakar berkenaan, penemuan sepanjang pantai utara pulau sejak bulan lepas itu amat membimbangkan dan mungkin menjadi penyebab kematian kepaada kehidupan marin.

Dalam pada itu, Meenakshi turut menggesa pihak berkuasa Persekutuan dan negeri bertindak segera untuk menghentikan sebarang aktiviti yang boleh menyumbang kepada pencemaran laut.

Katanya, tindakan itu sekali gus bagi melindungi kesihatan awam serta kemusnahan kehidupan marin yang semakin serius pada masa depan. - UTUSAN ONLINE