Ketibaan baginda berdua di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) disambut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd. Zaidi Ramli.

Mohamad Nordin berkata, Jakim meneruskan penganjuran MTHQK edisi kali ini dengan menggabungkan acara tilawah peringkat kebangsaan kali ke-62 dan menghafaz al-Quran peringkat kebangsaan kali ke-40.

“Kedua-dua acara ini diadakan secara serentak yang mana majlis tilawah diadakan pada sebelah malam manakala majlis hafazan pula berlangsung di sebelah pagi dan petang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Acara hafazan al-Quran berlangsung dalam tiga kategori iaitu satu hingga 10 juzuk, satu hingga 20 juzuk dan satu hingga 30 juzuk. Ketiga-tiga kategori itu diasingkan antara lelaki dan wanita.

Seramai 112 peserta dari 14 buah negeri telah berhimpun dan memperdengarkan bacaan masing-masing sepanjang enam hari penganjuran MTHQK tahun ini.

Para peserta terdiri daripada 28 qari dan qariah bagi kategori tilawah al-Quran iaitu dua orang wakil (qari dan qariah) bagi setiap negeri. Manakala 79 hafiz dan hafizah adalah peserta dari kategori hafazan.

Bertemakan ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’, bacaan para peserta dinilai seramai 16 hakim bagi kategori tilawah dan 17 hakim bagi kategori menghafaz.

Johan qari dan qariah bagi kategori tilawah menerima wang tunai RM15,000, dan ditambah dengan tunai RM10,000 khusus untuk menunaikan ibadah haji, cederamata dan sijil penyertaan.

Johan tilawah dan menghafaz al-Quran itu juga akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 15 hingga 20 April ini. - UTUSAN ONLINE