MOHD. ISA ABD. SAMAD

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abd. Samad berkata, perjanjian yang dimeterai antara 12 nega­ra itu bakal membawa fae­dah yang besar kepada Felda.

“Dengan kerjasama ter­sebut, kita mampu menembusi pasaran di negara-negara ahli terutama dalam penjualan minyak masak.

“Para peneroka Felda perlu berpandangan jauh dan bukan sekadar mendengar pendapat daripada pihak yang tidak bersetuju dengan penglibatan negara,” katanya selepas merasmikan Pusat Literasi Keluarga di Felda Raja Alias Satu di sini hari ini.

Beliau mengulas penyertaan Malaysia dalam TPPA yang turut dianggotai Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Pakatan perdaga­ngan yang ditandata­ngani hari ini mewakili hampir 40 pera­tus Keluaran Dalam Negara Ka­sar global bernilai AS$30 trilion.

Mohd. Isa berkata, penyertaan negara akan membantu Felda dalam menambahkan pendapatan sekali gus memberi kelebihan kepada pe­ne­roka menikmati keuntungan.

“Walaupun beberapa pihak mendakwa TPPA berat sebelah dan boleh menjejaskan ekonomi negara, namun kita melihatnya sebagai peluang keemasan mengembangkan perniagaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, walaupun berlaku penyusutan pengeluaran minyak masak berikutan fenomena El-Nino ketika ini namun ia tidak membimbangkan.

“Cuaca panas menyebabkan buah kelapa sawit yang dituai kurang berat sehingga mengurangkan penghasilan minyak. Kita berharap keadaan akan pulih seperti biasa tidak lama lagi,” katanya.