Perkara itu diakui oleh Anggota Perunding (Akses Pasaran) TPPA, Muhammad Rudy Khairudin Mohd. Nor yang menyifatkan produk Malaysia sukar untuk bersaing di Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Mexico meskipun negara-negara tersebut menyajikan peluang pasaran besar kepada negara.

Katanya, kekangan utama dihadapi oleh produk tempatan di pasaran tersebut adalah kerana kadar duti yang tinggi disebabkan tiadanya perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara terbabit.

Bagaimanapun kata beliau, sekiranya negara membuat keputusan untuk menyertai TPPA, duti eksport akan dihapuskan, membolehkan produk tempatan yang dieksport lebih murah dan kompetitif dalam pasaran negara-negara berkenaan.

"Empat negara iaitu AS, Kanada, Mexico dan Peru, eksport kita mahal kerana kadar duti yang tinggi. Jadi tidak kompetitif berbanding negara lain yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara tersebut.

"Jadi, kalau kita boleh ada satu perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara tersebut, duti akan dihapuskan, barangan kita boleh bersaing di pasaran mereka. Negara-negara ini merupakan kawasan utama pasaran produk kita," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program Soal Jawab TPPA anjuran Biro Profesional Muda Pemuda UMNO dan Akademi Kepimpinan Kapten Hussein di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Rudy Khairudin memberitahu, sebaik sahaja perjanjian tersebut berkuat kuasa, produk Malaysia yang dieksport akan secara automatik menerima penghapusan duti.

Bagaimanapun, katanya, untuk sesetengah produk yang agak 'sensitif’ di negara-negara tersebut, berkemungkinan pengurangan duti akan dilaksanakan secara berperingkat sama ada lima, 10 atau 15 tahun, sama juga seperti di Malaysia.

"Selain akses pasaran, satu lagi 'masalah’ dihadapi produk eksport Malaysia dengan negara yang tiada perjanjian perdagangan bebas adalah halangan pasaran.

"Apabila tiada perjanjian, banyak halangan perlu dilalui, banyak dokumen perlu dihantar, banyak proses, tetapi apabila tandatangani perjanjian perdagangan bebas, halangan ini akan berkurang. Kita perlu lihat faedah TPPA dalam jangka panjang, bukan daripada jangka masa kita tandatangani perjanjian itu sahaja," jelas beliau.

Menurut Muhammad Rudy Khairudin, banyak sektor atau produk negara yang dieksport ke negara-negara terbabit seperti sarung tangan getah di AS.

"Kita kena ingat sarung tangan getah ini banyak digunakan dalam sektor perubatan dan di hospital. Jadi, apabila duti untuk eksport sarung tangan getah dihapuskan, produk tersebut akan lebih murah, bayangkan sekiranya produk itu berjaya masuk dalam perolehan kerajaan AS," ujar beliau.