Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara kini lebih teguh terutama dari segi kepandaian ilmu, kewibawaan dan kekuatan tersendiri untuk mendepani cabaran berbanding waktu silam.

Tegasnya, ini tidak mungkin berlaku apatah lagi negara mempunyai kalangan bijak pandai untuk menilai kebaikan, keburukan setiap pertimbangan yang dibuat dan adalah tidak adil TPPA cuba disamakan dengan sejarah Perjanjian Pangkor pada 1874 yang membawa kepada campur tangan penjajah dan penguasaan ekonomi oleh mereka.

Beliau menarik perhatian, malah kalangan rakyat negara ini muncul sebagai tokoh hebat di peringkat antarabangsa dalam lapangan masing-masing manakala syarikat-syarikat dan institusi yang diterajui berkembang setanding dengan syarikat gergasi dunia.

“Satu perkara lagi kita harus ingat syarikat Malaysia juga berada di luar negara dengan nilai pelaburan kira-kira RM600 bilion sedangkan pelaburan asing di negara ini hanyalah RM500 bilion. Duit ringgit kita lebih banyak di luar.

“Sekiranya digunakan perbandingan itu, adakah ini memberi maksud negara tersebut menjual tanah air mereka kepada Malaysia kerana syarikat kita banyak berada di negara berkenaan.

“Kebimbangan yang wujud kerana lazimnya kita takut tentang apa yang belum kita ketahui,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi taklimat TPPA bersama hampir 500 penjawat awam serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perladangan negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) semalam melahirkan kebimbangan TPPA akan memberi kesan ke atas kemerdekaan negara dengan mendakwa Malaysia masih sengsara akibat Perjanjian Pangkor sehingga hari ini, apatah lagi dengan TPPA yang lebih banyak kandungan perjanjiannya.

Dalam masa sama, dewan itu juga mahu kerajaan memberi keutamaan kepada pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) di samping perjanjian perdagangan dengan negara-negara seperti China, India dan anggota Pertubuhan Lapan Negara Islam Membangun (D8).

Mengulas lanjut Mustapa memberitahu, tumpuan negara masih terhadap ASEAN, bagaimanapun perdagangan dengan 200 buah negara lain itu dilihat mampu mempelbagaikan prospek pasaran di samping mengurangkan risiko kebergantungan kepada satu-satu negara.

“Tumpuan kita sememangnya pada ASEAN, tetapi, dalam masa sama, kita mahu mempelbagaikan prospek pasaran kerana peluang sudah ada. Rugi lah kita jika tidak menerokai,” katanya.