Mustapa Mohamed

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pindaan-pindaan berkenaan antaranya melibatkan ordinan-ordinan buruh di kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, undang-undang berkaitan harta intelek dan Pekeliling Perbendaharaan berkaitan perolehan kerajaan.

Beliau memberitahu, pindaan-pindaan tersebut perlu dilaksanakan dalam tempoh dua tahun ini bagi memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum perjanjian perdagangan bebas tersebut diratifikasikan.

“Pejabat Peguam Negara sudah membuat kerja-kerja awal, kita sudah tahu undang-undang mana hendak dipinda, dari segi draf, perkara ini tidak rumit, kita cuma perlu melihat dari segi jadual Parlimen dan mendapat kelulusan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis taklimat TPPA bersama penjawat awam di Auditorium Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Per­dagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dr. Rebecca Fatima Sta Maria.

Dalam pada itu, Mustapa memberitahu, pihaknya telah membuat persiapan untuk sidang khas Parlimen mengenai TPPA pada 26 Januari ini bagi perjanjian tersebut dibahas dan diundi untuk kelulusan.

Jelasnya, selain beliau, beberapa kementerian lain akan turut terbabit dalam menjawab persoalan-persoalan mengenai TPPA termasuk Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

“Kita ada dua hari (perbahasan untuk menolak atau menerima TPPA) di Dewan Rakyat dan satu hari di Dewan Negara, selepas lulus di Parlimen, kita akan pergi kepada tandatangan (persetujuan TPP) dan selepas itu kena pergi ke Parlimen untuk pinda undang-undang,” katanya.

Beliau memberitahu, parti-parti pembangkang yang masih berpendirian membantah TPPA perlu sedar bahawa Malaysia akan ketinggalan berbanding negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) khususnya Singapura dan Vietnam sekiranya tidak menyertai TPPA.

“TPPA adalah terbuka kepada negara-negara anggota APEC, daripada jumlah keseluruhan 21 negara anggota APEC, sebanyak sembilan negara belum menyertai TPPA tetapi sebanyak lima daripada mereka sudah menyatakan hasrat mereka menyertainya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, TPPA bakal memberi hak-hak baharu kepada pekerja-pekerja asing seperti hak menjadi pemimpin kesa­tuan pekerja namun perkara tersebut masih lagi dalam perbincangan Kementerian Sumber Manusia dengan pihak-pihak berkepentingan.