Presiden Pertubuhan Pemerkasaan Wanita Malaysia (MyWomen), Datuk Geethanjali G berkata, apabila pasaran dibuka, mereka terpaksa bersaing dalam mendapatkan tenaga buruh, kepakaran dan pelaburan.

Lama-kelamaan, kata beliau, hampir setiap negara berdagang antara satu sama lain kerana itulah cara ke hadapan.

Bahkan, kata Geethanjali, China yang diketahui mengamalkan konsep pasaran tertutup sebelum ini sudah menjadi sebahagian komuniti perdagangan dunia sehingga digeruni Amerika Syarikat dan kuasa besar lain.

“TPPA datang dengan kosnya tersendiri. Akan ada beberapa yang perlu dikorbankan untuk kita menikmati faedah dalam TPPA.

“Cuma keadaan ini boleh diumpamakan seperti pasukan bola sepak Kelantan atau dikenali ‘The Red Warrior yang dipinang oleh 'Qu Puteh' ('Qu Puteh' merupakan produk yang dikeluarkan oleh pemiliknya, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman).

“Liga Super boleh diibaratkan seperti ekonomi dunia sekarang yang bersifat global dan kompetitif, Kelantan yang merupakan pasukan hebat sejak dua tiga musim lalu kini dicabar oleh pasu­kan JDT yang memiliki ‘poket tebal’.

“Jadi, jika 'Qu Puteh' membolehkan penajaan besar untuk membayar tunggakan gaji pemain, mendapatkan pemain berkualiti dan menyusun kembali pengurusan kelab, TPPA pula memberikan Malaysia akses pasaran baharu khususnya di empat negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Peru,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau ditanya jika masih ada lagi pihak-pihak tertentu berterusan mempersoalkan tindakan Malaysia menandatangani TPPA yang penglibatan Kuala Lumpur akhirnya dimuktamadkan di New Zealand baru-baru ini setelah pelbagai kajian dan rundingan dilakukan sejak lima tahun lalu.

Tegas Geethanjali, persaingan harus dilihat dalam konteks semasa.

“Ketika ini, 65 peratus produk dan perkhidmatan di Malaysia telah pun ditakrifkan sebagai non-tariff measure (NTM). Dalam bahasa lain, SME atau PKS sudah pun boleh bersaing.

“TPPA ingin menjadikan kadar NTM sebanyak 85 peratus iaitu peningkatan 20 peratus,” katanya.

Beliau turut mengingatkan tentang negara-negara serantau yang kini sudah boleh mencabar dan menyaingi Malaysia.

“Vietnam semakin kompetitif dengan kos tenaga buruhnya. Kestabilan politik Indonesia menjadikan negara tersebut sebagai pesaing kita.

“Suatu hari, Malaysia pasti ketinggalan jika sesuatu tidak dilakukan. Justeru, inisiatif TPPA yang digerakkan ini adalah satu peluang yang boleh meningkatkan daya saing Malaysia untuk menjadi lebih kompetitif,” katanya.