Dalam satu kenyataan, Pejabat Timbalan Perdana Menteri memaklumkan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan agensi-agensi yang berkaitan perlu bekerjasama antara satu sama lain bagi memastikan bekalan air dan elektrik di Kuala Koh disediakan secepat mungkin.

Menurutnya, itu antara tindakan yang dipersetujui oleh mesyuarat penyelarasan tindakan susulan ke atas isu Orang Asli Kuala Koh yang dipengerusikan Wan Azizah hari ini.

"Selain itu, turut dipersetujui adalah agar Kementerian Kesihatan meneruskan program vaksinasi, nutrisi dan penjagaan kesihatan kepada masyarakat Orang Asli di Kuala Koh.

"Jakoa perlu memainkan peranan lebih aktif bagi mengenal pasti peluang pekerjaan baru kepada penduduk Orang Asli Kuala Koh supaya mereka mampu berdikari dan tidak mengharapkan sumbangan kerjaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semata-mata," katanya di sini hari ini.

Tambah kenyataan itu, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan perlu memastikan Projek Kelas Khas (ProKhas) bagi kaum Orang Asli Bateq diwujudkan segera.

Sementara itu jelasnya, Jabatan Pendaftaran Negara perlu memastikan semua Orang Asli di Kuala Koh sama ada yang baru lahir atau golongan muda dan tua didaftarkan supaya mereka tidak ketinggalan dalam mendapat manfaat sebagai warganegara Malaysia.

"Kerjasama dengan kerajaan negeri Kelantan terutamanya Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. dan pegawai jajahan Gua Musang perlu ditingkatkan untuk memastikan kebajikan dan masa depan Orang Asli Kuala Koh lebih terjamin," katanya. - UTUSAN ONLINE