Timbalan Perdana Menteri berkata, YKN telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program meliputi bidang kebajikan, kesihatan dan pelajaran.

Antaranya jelas beliau, adalah perkhidmatan Anjung Singgah, Anjung Kasih dan Pusat Rawatan Dialisis.

“Sehingga Januari lalu, sejumlah 62,551 orang telah mendapat manfaat daripada penubuhan Anjung Kasih seluruh negara.

“Daripada 7,047 gelendangan yang menginap di Anjung Singgah, sebanyak 73 peratus telah berjaya dibantu mendapat pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Tajaan dan Tandatangan Memorandum di sini hari ini.

YKN menyediakan perkhidmatan seperti lima buah Anjung Singgah yang merupakan pusat khidmat sosial bagi menangani masalah isu gelendangan, 10 buah Anjung Kasih iaitu penginapan sementara bagi keluarga yang mengiringi pesakit yang mendapat rawan di hospital dan enam buah Pusat Rawatan Dialisis yang berkonsep mesra keluarga.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyeru semua pihak khususnya syarikat korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain berkemampuan untuk mrnyumbang kepada YKN.

Sumbangan itu jelas beliau, adalah bagi melaksanakan program-program khusus untuk golongan yang memerlukan.

“Sebagai sebuah badan kebajikan, sudah tentunya YKN tidak dapat bergerak bersendirian. Kita memerlukan kerjasama rakan-rakan strategik untuk membantu melaksanakan inisiatif-inisiatif ini bagi memperkasakan kumpulan sasar melalui pelbagai sudut dengan lebih efektif,” katanya. - UTUSAN ONLINE