Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak berkerjasama dalam meningkatkan kemasukan dan perluasan industri pelancongan sama ada dari luar atau dalam negara.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, JITDP telah dimulakan secara perintis bermula 2018 dan diteruskan pada tahun ini setelah pelaksanaannya membuahkan hasil memberangsangkan.

"Program ini mendapat pulangan bagi pelaburan (ROI) sebanyak RM1.1 bilion melebihi jangkaan asal iaitu RM800 juta yang sekali gus berjaya memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara.

"Sehubungan itu, kita meneruskan JITDP, kali ini melibatkan dana RM20 juta dengan RM10 juta daripadanya diperuntukan oleh Tourism Malaysia," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani MoU JITDP antara MAHB dan Tourism Malaysia, di sini hari ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar hadir menyaksikan majlis memeterai MoU tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, industri pelancongan dan penerbangan mempunyai kaitan antara satu sama lain dalam usaha memacu ekonomi negara.

Katanya, perkembangan itu menyaksikan sektor penerbangan telah menjana 3.3 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sekali gus membuka 460,000 peluang pekerjaan.

"Sehubungan itu, kita bersama Tourism Malaysia menjayakan JITDP dalam memastikan usaha promosi pelancongan dapat direalisasikan.

"Bagi MAHB, kita menarik minat syarikat penerbangan untuk terlibat sama dalam program ini manakala Tourism pula menyediakan usaha promosi pelancongan," katanya.

Katanya lagi, sebanyak 11 syarikat penerbangan telah mula beroperasi di lapangan terbang di bawah seliaan MAHB tahun lalu dengan lebih 40 laluan penerbangan baharu. - UTUSAN ONLINE