Dalam masa sama, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, rakyat juga perlu menolak anasir perpecahan yang cuba ditimbulkan oleh mana-mana kumpulan atau pihak di dalam kaum atau agama sendiri.

Kata beliau, perkara itu perlu dihayati dan diinsafi semua pihak ke arah mengecapi kemakmuran yang merupakan tanggungjawab bersama seluruh rakyat.

"Sekiranya kita bersatu padu, tidak ada apa yang kita lakukan yang tidak boleh berjaya, tetapi sekiranya kita berpecah-belah, apa pun yang kita buat akan gagal.

"Jadi, marilah kita terus bersatu padu dan mengekalkan masyarakat yang harmoni yang kita kecapi selama ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis memperkenalkan Jalur Gemilang gergasi yang diperbuat daripada botol air mineral terpakai di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Pusat, di sini pagi ini.

Sementara itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan melahirkan rasa gembira kerana semua sekolah di seluruh negara telah menumpukan usaha untuk menyambut bulan kemerdekaan.

Katanya, usaha itu membolehkan rakyat khususnya generasi muda mengimbas semula kejayaan negara dalam mencapai kemerdekaan atas usaha dan titik peluh semua rakyat tanpa mengira kaum.

"Kejayaan itu adalah berlandaskan perpaduan yang ditunjukkan oleh semua rakyat, sekiranya tidak ada perpaduan, maka segalanya tidak akan tercapai.

"Oleh itu, kita harus mengenali aspek penting ini dan sekali lagi mengukuhkan perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat," katanya. - UTUSAN ONLINE