Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman berkata, penganjuran acara tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar khususnya dalam aspek penjimatan tenaga.

Menurutnya, acara tersebut diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke - 70 yang akan diadakan pada 1 September depan bagi meningkatkan kesedaran terhadap pemuliharaan tenaga dan kesedaran alam sekitar sebagai usaha menyelamatkan bumi.

“Kami teruja dengan sambutan yang sangat menggalakkan menerusi acara ini kerana ia merupakan kali pertama yang dianjurkan TNB.

“Ini juga disifatkan sebagai ‘spark of energy’ kerana mempamerkan tanda-tanda positif mengenai kesedaran alam sekitar yang semakin meningkat di negara ini terutamanya dalam kalangan pelari selain kesedaran tentang aspek kesihatan dan kecergasan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Roslan menambah, dalam acara larian itu, semua peserta akan memakai baju t-shirt berwarna reflektif, bombor bib, gelung tangan (armband), cermin mata diod pemancar cahaya (LED) bagi dua kategori iaitu lima kilometer (KM) dan 10 KM.

“Bagi kategori 5 KM disasarkan kepada keluarga kerana ianya lebih santai manakala bagi acara 10 KM pula adalah bagi mereka yang sukakan cabaran khususnya untuk pelari yang berpengalaman.

“Melalui acara ini, TNB mahu mengajak orang ramai untuk meluangkan masa bersama keluarga selain mendidik anak-anak untuk memahami erti penjimatan tenaga yang akan memberi kesan positif pada masa akan datang,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE