IZANI ZAKARIA
IZANI ZAKARIA 

Aktivis Masyarakat Tanah Merah, Izani Zakaria berkata, keadaan yang berlaku itu sedikit sebanyak telah menjejaskan pengguna terutama golongan berpendapatan rendah.

Katanya, jika perkara ini disebabkan oleh kesilapan bacaan meter seperti yang didakwa, maka TNB perlu segera memperbaikinya.

“Ramai pengguna mengadu bil elektrik yang diterima mereka melambung tinggi sehingga mencecah dua kali ganda daripada biasa.

“Jadi, penjelasan perlu diberikan kerana situasi ini seolah-olah TNB telah menaikkan kadar tarif elektrik secara senyap atau mengenakan caj yang tersembunyi,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Terdahulu TNB dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil maklum terhadap rungutan dan aduan pelanggan berhubung bil elektrik yang tinggi.

Menurut kenyataan itu, pihaknya juga telah menerima dan melayani aduan mengenai perkara itu yang dikemukakan terus di Kedai Tenaga.

Bagaimanapun, tiada penjelasan umum dapat diberikan kepada rungutan tersebut kerana setiap kes perlu diteliti terlebih dahulu dan ia berbeza antara satu sama lain.

Dalam pada itu, Izani berkata, kerajaan juga diminta untuk campur tangan bagi menyelesaikan masalah ini demi kepentingan rakyat.

“Rakyat telah mula menyalahkan kerajaan hari ini dengan apa yang berlaku. Mereka fikir, bila Pakatan Harapan memerintah segala kos sara hidup meningkat.

“Kerajaan perlu campur tangan dan memikirkan masalah yang dihadapi rakyat dalam keadaan ekonomi tidak menentu sekarang ini,” katanya.

Tambah beliau, situasi yang berlaku ini sedikit sebanyak telah menjejaskan pengguna. - UTUSAN ONLINE