Program itu merupakan salah satu inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporat TNB dalam membantu meringankan beban ibu bapa yang kurang berkemampuan dalam menyediakan persiapan persekolahan dan membawa keceriaan kepada anak-anak.

Pengurus Bahagian Pembangunan TNB negeri, Mohd Fadhirul Nazeri Mat Nawi berkata dalam program tersebut murid menerima satu set kelengkapan sekolah bernilai RM200 tiap seorang.

Katanya, pihaknya amat memahami masalah yang dialami oleh golongan tersebut terutamanya kepada keluarga yang mempunyai anak yang ramai.

"Sumbangan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat menaikkan semangat murid-murid dalam memberi tumpuan pembelajaran dengan suasana yang lebih kondusif," katanya selepas ditemui dalam program tersebut di Sekolah Kebangsaan Kampung Nyior, di sini hari ini.

Perasmian program disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Daerah, Datuk Din Adam. Yang turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Abdul Mubin Ismail dan Pegawai Penyelaras UMNO Dewan Undangan Negeri Paka, Che Ku Hamzah Che Ku Deraman.

Beliau memberitahu, sejak diperkenalkan pada tahun 2013, sebanyak 12,000 murid dari 800 buah sekolah di selutuh negara telah mendapat manfaat dari program tersebut. - UTUSAN ONLINE