Hilmi Yahaya

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, kerjasama yang baik dari­pada pelbagai pihak terma­suk masyarakat luar bandar diyakini dapat meningkatkan kualiti perubatan tanpa bergantung sepenuhnya kepada negara luar.

Kata beliau, tahap perkembangan dan pem­buatan pelbagai­ produk kesihatan tra­disional di negara ini masih terkebelakang berbanding negara luar­ meskipun bahan asal untuk mencipta sesuatu produk kesihatan ada di Malaysia.

“Sebagai contoh, tongkat ali yang memberi pelbagai khasiat boleh didapati di negara kita tetapi diproses di Amerika Syarikat sebelum diedarkan kepada pasaran perubatan tempatan.

“Kita akan dengar semua pandangan yang diutarakan rakyat dalam mempromosikan bidang perubatan itu,” katanya selepas menghadiri sesi dialog Aspirasi Kesihatan Transformasi Nasional 2050 (TN50) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Bahagian Perkembangan Peru­batan Kementerian Kesihatan, Datuk Dr. Azman Abu bakar.

Menurut Hilmi, sehingga kini, sebanyak 15 hospital di negara ini menawarkan perkhidmatan perubatan tradisional dengan kos RM15 dan kerajaan menyalurkan subsidi kos rawatan sebenar yang boleh mencecah sehingga RM500 untuk seorang pesakit.

Dalam perkembangan lain, Hilmi yang Ahli Parlimen Balik Pulau berkata, sebuah hospital baharu yang mempunyai 300 katil akan dibina di tanah berkeluasan 40.5 hektar bersebelahan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di sini.

Katanya, manfaat itu boleh dirasai oleh lebih 310,000 penduduk daerah barat daya yang selama ini terpaksa mendapatkan perkhidmatan doktor pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP).