S. Veerapan

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, penyakit yang berkaitan ialah jangkitan saluran pernafasan (URTI), asma dan sakit mata.

Beliau berkata, gejala akibat terdedah kepada jerebu adalah seperti bersin, kerengsaan mata, hidung berair, batuk dan sakit tekak disebabkan oleh kehadiran bahan pencemar di udara.

"Sebahagian daripada mereka terutamanya yang mempunyai masalah perubatan mungkin mengalami gejala yang lebih teruk seperti kesukaran bernafas dan sakit dada.

"Kumpulan yang berisiko semasa jerebu termasuk bayi dan kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru, perokok serta pekerja yang terdedah kepada udara luar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, beliau ingin memaklumkan kepada orang awam bahawa kejadian jerebu yang berlaku di negara ini juga melibatkan Negeri Sembilan.

Jelasnya, terdapat tiga buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang dipantau di negeri ini iaitu di Nilai, Seremban dan Port Dickson.

"Sehingga pukul 1 petang tadi, Indeks Pencemar Udara (IPU) menunjukkan bacaan tidak sihat di Nilai (IPU: 151), Seremban (IPU: 121) dan Port Dickson(IPU: 105)," ujarnya.

Veerapan menasihatkan orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat supaya mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan. - UTUSAN ONLINE