Beliau yang dalam rangka lawatan ke negeri Cik Siti Wan Kembang itu sanggup meredah hujan lebat melihat sendiri kesungguhan peniaga di Medan Makanan Warisan berniaga sekali gus membantu meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu.

Lebih menarik lagi, beliau menyatakan kekaguman terhadap seorang usahawan muda yang sanggup meninggalkan jawatan dan gaji besar sebagai seorang cef di sebuah hotel terkemuka untuk berniaga di medan makanan tersebut.

Bagi Hafiz Ramli walaupun pernah berjawatan besar dan bergaji lumayan dia tidak menyesal meninggalkan pekerjaan sebagai cef dan membuka gerai menjual sup kambing, kambing bakar dan kuey teow goreng kerana lebih memberikan kepuasan selain dapat menyumbang tenaga di negeri kelahirannya.

“Walaupun hanya meniaga di tapak pasar malam namun ia sebenarnya sangat terjamin apatah lagi pendapatan yang diperoleh lebih lumayan berbanding di hotel dahulu.

“Ia juga membantu saya lebih dekat dengan keluarga selain meningkatkan ekonomi orang Melayu di sini,” kata Hafiz.

Bagi Mohd. Redzuan, beliau sendiri terkejut dengan pendapatan yang diperoleh Hafiz dan membuktikan keusahawan sebenarnya mampu memberikan pendapatan lebih baik walaupun hanya berniaga di pasar malam.

“Mungkin ada yang memandang lekeh para peniaga di pasar malam tetapi hakikatnya mereka mampu meraih pendapat tinggi berbanding yang pakai kot dan bekerja di pejabat.

“Hafiz adalah antara contoh terbaik yang sanggup tinggalkan jawatan dan gaji tinggi di hotel dengan menerokai peluang sebagai usahawan di negeri kelahirannya.

“Oleh itu saya sangat berharap lebih ramai anak muda sanggup mencontohi Hafiz menjadi usahawan dan tidak lagi bergantung dengan hanya makan gaji,” katanya. - UTUSAN ONLINE