Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, tindakan tegas itu perlu bagi mengelakkan insiden seperti di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, berulang kembali di Lembah Klang.

Bagaimanapun, Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam enggan menyatakan secara lanjut sama ada pihaknya telah mengenal pasti pelakunya.

“Kalau ada kes seperti di Sungai Kim Kim, tindakan tegas akan diambil,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Peringatan Hari Polis ke-212 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Khalid mengulas video berdurasi 44 saat berkaitan pencemaran yang dimuat naik di Twitter Setiausaha Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Pulau Pinang, Mathis Sarawanan yang telah ditonton hampir 21,100 pengguna.

Menerusi twitter itu, Mathis dipetik sebagaia berkata, beliau menerima video tersebut daripada rakannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

“Cuba lihat bagaimana sisa buangan mengalir terus ke dalam sungai kita. YB @teresakok / YB @KhalidSamad sila ambil tindakan sepatutnya berkenaannya secepat mungkin.

Kita tidak boleh membiarkan kejadian seperti di Pasir Gudang berulang lagi,” katanya.

Mathis turut memuat naik satu lagi video berdurasi 24 saat yang mendapat tontonan 6,431 pengguna selain sekeping gambar memaparkan perubahan Sungai Klang susulan pencemaran itu. - UTUSAN ONLINE