Paling masyhur dengan undang-undang lese-majeste ini tentunya Thailand dan ia telah wujud sejak kanun jenayah negara itu digubal pada 1908 lagi. Terbaharu, Kemboja turut menggubal undang-undang serupa dan diluluskan Parlimen negara itu 11 bulan lalu.

Ketegasan Thailand dalam menguatkuasakan undang-undang itu memang tiada tolok banding, waima warga asing sekalipun tidak terlepas dari tindakan jika menghina monarki negara itu.

Berikutan itu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017 atas nama hak asasi meminta Thailand meminda undang-undang lese-majeste yang disifatkan badan itu sebagai terlalu keras. Adakah Thailand kisah dengan gesaan itu?

Tentulah tidak. Dalam tempoh itu juga ada rakyatnya dihukum penjara 35 tahun kerana menghina keluarga diraja dalam Facebook. Kesalahan itu membabitkan 10 pertuduhan dan asalnya tertuduh dihukum 70 tahun penjara tetapi dikurangkan separuh kerana mengaku bersalah.

Di mana-mana negara pun secara umumnya, tiada akta khusus memperuntukkan lese-majesty law tetapi terkandung dalam perundangan jenayah dan akta berkaitan.

Di Malaysia, akta de-facto pada kesalahan menghina raja lazimnya ada dua iaitu Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 andai jenayah itu dilakukan menerusi media baru. Hukumannya dalam Seksyen 233 melibatkan denda tidak melebihi RM50,000 dan penjara tidak melebihi setahun.

Persoalannya kini bukan lagi undang-undang tetapi tindakan untuk menguatkuasakan undang-undang itu. Yang menghina institusi diraja dengan komen jelik dalam media sosial perlu dibendung dengan tindakan tegas oleh penguat kuasa.

Ini selari dengan kedudukan tertinggi raja-raja yang menjalankan puluhan tugas penting apatah lagi jika membabitkan Yang di-Pertuan Agong, Ketua Utama Negara menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan. Selain tugas Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri, Seri Paduka dan Raja-raja Melayu simbol kedaulatan dan perpaduan negara.

Maka Seri Paduka dan institusi diraja tidak boleh dibiar dalam sindiran apatah lagi penghinaan oleh segelintir rakyat yang masih gagal atau enggan memahami Perlembagaan dan Rukun Negara. Golongan ini harus dibawa ke muka pengadilan.

Jika yang menghina mahkamah pun boleh diambil tindakan tegas, takkan lah yang menghina raja-raja harus dibiarkan sedangkan hakim sendiri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan. - UTUSAN ONLINE