Ketua Penerangan Majlis Belia Felda Wilayah Alor Setar, Izan Asmawi Habidan berkata, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab seperti itu.

Katanya, bendera Malaysia adalah lambang dan simbol negara yang perlu sentiasa dihormati bukannya dihina seperti yang berlaku hari ini.

"Tiada sebarang alasan dapat diterima dalam perkara membabitkan pemasangan bendera terbalik ini.

"Jadi, tindakan undang-undang mengikut peruntukan Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 perlu diambil terhadap sesiapa yang didapati melakukan kesalahan ini," katanya di sini hari ini.

Semalam, Naib Pengerusi DAP negeri, Dr Abdul Aziz Bari beranggapan kebanyakan isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang ditularkan dalam media sosial merupakan suatu kesilapan biasa yang tidak seharusnya digambarkan sebagai tidak setia mahupun tidak patriotik

Menyifatkan perkara tersebut sebagai suatu yang kecil dan agak terpencil, Abdul Aziz dilaporkan berkata, ia juga tidak seharusnya diremehkan dalam konteks kaum dan agama.

"Setahu saya tidak ada kesalahan. Ada undang-undang ke yang mengatakan salah pasang bendera terbalik? Cuma benda ini jangan dimainkan, jangan 'dipanaskan'," kata Aziz Bari.

Sebelum itu, sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa untuk menyiasat isu ditularkan dalam laman Facebook berkenaan Jalur Gemilang yang didakwa sengaja dipasang secara terbalik di beberapa premis seluruh negara.

Tambah Izan Asmawi, penghormatan tinggi bukan sahaja perlu diletakkan kepada bendera negara sendiri, malah bendera dari mana-mana negara lain juga perlu dihormati demi keharmonian sejagat.- UTUSAN ONLINE