Syor pertama adalah tempoh kempen pilihan raya yang lebih panjang, akses tempat pengundian Orang Asli serta orang kurang upaya (OKU) ditingkatkan dan pembaharuan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Suhakam dalam kenyataan memberitahu, syor kempen pilihan raya yang lebih panjang adalah untuk memberi peluang kepada pengundi mendengar pandangan semua parti.

Selain itu, kata suruhanjaya itu, langkah ini juga termasuk akses media yang saksama bagi calon-calon dari segi masa siaran dan ruang cetak.

“Secara ringkasnya, akses kepada media tidak diskriminasi. Kempen tempoh lebih panjang seperti mana yang telah dilaksanakan pada tahun 1959,1964 dan 1969,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

RUU itu mendapat sokongan 211 Ahli Parlimen sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga daripada 222 bilangan Ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan tanpa sebarang pindaan.

Selepas kiraan undi belah bahagi dilakukan, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof mengumumkan, seramai 211 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala tiada yang tidak bersetuju dan tidak mengundi.

Selain itu, pindaan berkenaan juga membolehkan pendaftaran secara automatik sebagai pemilih oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaksanakan sebaik sahaja seseorang warganegara itu mencapai usia 18 tahun.

Turut dipinda dalam RUU itu untuk menurunkan umur layak untuk menjadi calon pilihan raya pada seawal usia 18 tahun.

Sementara itu, Suhakam menambah, selain syor meningkatkan kemudahan akses tempat pengundian untuk Orang Asli, kerajaan juga perlu menyediakan kertas undi dalam bentuk tulisan Braille bagi mereka cacat penglihatan.

Ini bermaksud kerajaan menyediakan kemudahan-kemudahan pengundian untuk orang kurang upaya (OKU).

Syor lain, Suhakam menambah, pihaknya juga berharap pembaharuan terhadap AUKU seperti yang dijanjikan akan dilaksanakan dengan segera bagi membolehkan mahasiswa menyertai sepenuhnya proses politik tanpa rasa takut.-UTUSAN ONLINE