Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr. Mohammad Fait Abd Rashid berkata, pusat rawatan itu ialah Pusat Rawatan Tabung Haji di Syisyah serta Pusat Kecemasan di Abraj Al-Janadriyah, Mekah dan Pusat Rawatan Tabung Haji Al-Jaffery, Madinah.

"Tiga fasiliti utama itu menawarkan 267 katil, yang mana Pusat Rawatan Syisyah mempunyai 197 katil, Abraj Al-Janadriyah 33 katil dan bakinya di Madinah," katanya dalam sidang akhbar di sini, baru-baru ini.

Katanya, selain itu, terdapat 16 klinik kesihatan disediakan di 14 bangunan penginapan jemaah haji di Mekah, manakala tiga klinik kesihatan disediakan di lima bangunan di Madinah.

"Operasi di Madinah dihentikan buat sementara sekarang kerana kesemua jemaah berada di Mekah, ia akan disambung semula selepas ini apabila jemaah kembali ke Madinah," tambahnya.

Beliau berkata, untuk musim haji kali ini, sebanyak 264 petugas perubatan dengan 26 daripadanya adalah doktor pakar.

Dr. Mohamad Fait berkata, setakat Selasa lepas, sebanyak 7,816 pesakit luar mendapatkan rawatan di semua pusat kesihatan Tabung Haji dengan 70 peratus daripadanya adalah di Mekah.

"Sebanyak 23 peratus jemaah yang mendapat rawatan di pusat rawatan berkaitan dengan masalah paru-paru, 15 peratus masalah jantung dan selebihnya masalah kulit, mental, patah dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, kebanyakan jemaah yang mendapatkan rawatan sememangnya mempunyai penyakit sebelum ini dan kegagalan mereka memberi penjagaan kesihatan ketika berada di sini akan memburukkan keadaan.

"Jemaah yang mempunyai penyakit kencing manis misalnya, apabila kaki mereka terluka kerana terlalu banyak berjalan, maka kuman akan mudah merebak ke dalam darah mereka," katanya.

Menyentuh mengenai penambahbaikan yang dilakukan tahun ini, Dr. Mohamad Faid berkata, jemaah yang dimasukkan ke hospital Arab akan dibekalkan dengan satu kit asas untuk keselesaan mereka yang mempunyai tuala, berus dan ubat gigi dan pelembap.

"Kami juga akan membawa makanan yang dimasak oleh tukang masak Malaysia apabila membuat lawatan terhadap pesakit di hospital Arab kerana mereka tidak ada selera makan masakan Arab," katanya. - UTUSAN ONLINE