Pertama, meletakkan jawatannya melalui surat yang ditandatangani sendiri, kedua jika dipecat daripada jawatannya oleh Majlis Raja-raja dan ketiga, andai terhenti daripada menjadi Raja.

Ini seperti mana terkan­dung dalam Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan. Hari ini tercatat satu sejarah apabila Sultan Muhammad V mengumumkan meletak jawatan selepas dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong XV oleh Majlis Raja-raja bermula 13 Disember 2016.

Selepas ini, Perkara 32 (4) Perlembagaan pula jadi tumpuan iaitu berhubung pemilihan Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan peruntukan Bahagian I dan III Jadual Ketiga hendaklah terpakai bagi pemilihan dan pemecatan Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 1 Bahagian I Jadual Ketiga menyebut mengenai kelayakan seorang Raja untuk dipilih menjadi Yang di-Per­tuan Agong iaitu dewasa, tidak menolak untuk dipilih selain tidak ditolak Majlis Raja-raja.

Mengenai senarai giliran negeri, ini yang disebut dalam Seksyen 2 bahagian ini iaitu:

“Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang Negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan yang diperihalkan dalam Seksyen 4 dan, jika Raja itu tidak mene­rima jawatan itu, menawarkan jawatan itu kepada Raja yang Negerinya ialah yang berikut selepas Negeri yang pertama dalam senarai itu, dan demikianlah seterusnya sehingga seorang Raja menerima jawatan itu,”

Penentuan senarai itu dinyatakan dalam Seksyen 4 Bahagian I Jadual Ketiga Perlembagaan, namun masih Majlis Raja-raja yang akan memilih Yang di-Pertuan Agong menurut lunas Perlembagaan dan penentuan undian sulit.

Sistem penggiliran Yang di-Pertuan Agong dalam kala­ngan sembilan Raja-raja Melayu cukup unik dan kini berada dalam giliran senarai kedua yang sudah pun melibatkan Raja-raja Melayu dari enam negeri.

Tinggal tiga lagi Raja-raja Melayu dari tiga negeri iaitu Pahang, Johor dan Perak untuk melengkapkan senarai kedua Yang di-Pertuan Agong.