Zabidi dari Sungai Petani, Kedah yang merupakan bekas pesara kerajaan berkata, peluang untuk menunaikan haji bersama kakak dan abangnya bersama pasangan masing-masing merupakan anugerah sangat bermakna dari Allah.

Zabidi, 59, bersama kakaknya, Mariam, 63 dan abang, Zakariah, 60, merupakan antara jemaah pertama tiba di tanah suci selepas berada dalam kumpulan penerbangan KT1.

“Kami sangat bertuah kerana dapat berada dalam satu kumpulan penerbangan dan tinggal juga bersama dalam satu bilik,” katanya kepada pemberita di sini sambil memberitahu mereka mendaftar haji pada 2008.

Sambil berterima kasih kepada Tabung Haji yang memberi peluang, mereka bertiga juga berpuas hati dengan segala kemudahan dan pengurusan perjalanan sepanjang berada di Madinah dan Mekah.

“Semua dijaga baik..., kesihatan, makanan dan kemudahan beribadat. Sudah tentu kami sangat bersyukur atas semua kemudahan yang disediakan Tabung Haji,” kata Zabidi yang bersama pasangannya, Che Embun Omar.

Mariam datang bersama suaminya, Marzuki Din, dan Zakaria pula bersama isterinya, Hamidah Abdul Rahim. - UTUSAN