Bagaimanapun, hanya enam daripadanya yang masih ditahan di hospital itu dengan kesemuanya merupakan kanak-kanak berusia antara 4 hingga 10 tahun manakala yang lain telah dibenarkan pulang secara berperingkat.

Salah seorang bapa mangsa, Azwan Che Baharuddin, 37, berkata, ketiga-tiga anaknya iaitu Nur Anis Najihah, 10; Muhammad Ikwan Danial, 7; dan Muhammad Darwisy Najmi, 4, dimasukkan ke HSNZ bermula awal pagi ini selepas mengalami muntah-muntah dan demam.

Katanya, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman di Setiu bersama isteri dan lima anaknya pada Jumaat lalu berikutan bimbang dengan keadaan semasa di sana tambahan pula kediaman mereka di Taman Cermai, Kota Masai terletak cuma 200 meter dari lokasi kejadian.

Jurukimpal itu berkata, anak keempatnya mengalami demam sejak di rumah mereka lagi manakala dua yang lain dilaporkan muntah-muntah mulai semalam dan dibawa ke Hospital Setiu sebelum dikejarkan ke HNSZ.

“Kira-kira pukul 2 pagi tadi Muhammad Ikwan dimasukkan ke HSNZ dari Hospital Setiu dan sekitar pukul 1 petang, Muhammad Darwisy dan kakaknya Nur Anis Najihah pula ditahan kerana menunjukkan simptom sama namun, keadaan mereka stabil walaupun agak lemah,” katanya.

Katanya kepada pemberita selepas menerima lawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin di HSNZ di sini petang tadi.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh dan Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus.

Sementara itu, Zuraidah memuji tindakan pantas ibu bapa dalam membawa ahli keluarga masing-masing mendapatkan rawatan awal berikutan pencemaran itu. - UTUSAN ONLINE