Sangat tidak adil untuk menggelarkan warga peneroka Felda malas yang mana kebanyakan mereka telah membanting tulang sejak usia muda lagi bermula tanah rancangan Felda dibuka.

Siapa yang menguruskan dan memajukan tanah ladang sewaktu Felda mula-mula dibuka jika bukan golongan peneroka sendiri? Dari hutan belantara sehingga bertukar menjadi estet perladangan yang memberi sumbangan besar kepada hasil pendapatan negara.

Adakah chef selebriti yang baharu sahaja dinobatkan Tokoh Anak Felda pada sambutan Hari Peneroka kelmarin tidak pernah merasai jerih payah golongan peneroka menguruskan ladang mereka sewaktu Felda dibuka dahulu?

Menyingkap kehidupan warga peneroka Felda, penulis sendiri dapat melihat dan merasai kesusahan arwah ayah menguruskan ladang kelapa sawit. Sewaktu bersekolah rendah lagi, Allahyarham telah pun mengajak anak-anaknya bersama pergi ke ladang sawit bagi merasai susah payah menguruskan ladang kelapa sawitnya.

Masih teringat kata-kata arwah ayah penulis: ‘kalau bukan kita sendiri yang menguruskan ladang sawit ini, siapa lagi. Dengan hasil ladang sawit inilah abah membesarkan anak-anak”.

Jika pun benar kata-kata chef selebriti itu bahawa ada peneroka yang jual subsidi baja, namun ia bukan menggambarkan keseluruhan warga peneroka di negara ini.

Begitu juga jika mengatakan seluruh warga peneroka itu malas, jika mereka malas tidak adalah anak-anak generasi kedua Felda yang sehingga kini telah banyak mencipta kejayaan dan berjawatan besar, siapa menanggung perbelanjaan pendidikan mereka jika bukan ayah-ayah mereka yang merupakan peneroka.

Jika pun wujud segelintir peneroka seperti dikatakan chef selebriti itu, namun tidak adil untuk dia membuat kenyataan secara umum seolah semua bermasalah. Kalaulah arwah ayah penulis masih hidup, pastinya Allahyarham sedih dengan tuduhan sedemikian.

Bagi generasi kedua Felda, rata-rata reaksi mereka dalam media sosial jelas sangat marah dengan kenyataan chef selebriti itu yang disifatkan sebagai tidak sedarkan diri dan tidak layak diangkat sebagai Ikon Anak Felda.

Nampaknya chef tersebut jangan ingat dia seorang sahaja pandai bermulut laser, anak-anak Felda lain pun boleh. Cuma mereka tahu ke mana nak halakan. - UTUSAN ONLINE